Peranan yang dimainkan oleh perkhidmatan awam untuk memberikan perkhidmatan yang
berkualiti kepada orang ramai adalah berat dan ini tidak membenarkan pegawai awam setakat
menjalankan tugas atau melaksanakan dengan cara yang sedia ada, sebaliknya perlu memikirkan
cara-cara baru untuk memperbaikinya. Pemikiran systems maintenance tidak lagi sesuai dalam
keadaan sekarang dan harus diubah kepada pemikiran berbentuk kreatif dan inovatif yang
bermakna pegawai awam patut bersikap proaktif. Ini hanya dapat dicapai jika mereka mempunyai
kemahiran dan pengetahuan yang tinggi disertai dengan sikap yang positif, peribadi yang mulia dan
nilai-nilai yang unggul. Langkah-langkah yang telah diambil sebagaimana yang telah diterangkan di
atas adalah merupakan sebahagian dari tindakan Kerajaan untuk memperbaiki perkhidmatannya.
Ia mencerminkan pemikiran bahawa pembentukan peribadi dan permodenan sistem haruslah
berjalan seiring jika kemajuan dan pembangunan negara ingin dicapai. Agensi-agensi Kerajaan
terpaksalah membuat kerja lebih dengan cara yang lebih baik dan lebih dekat kepada pengguna.
Walaupun perubahan - perubahan dan pembaikan secara menyeluruh adalah sukar kerana saiz
perkhidmatan awam yang besar, fungsi yang luas dan peraturan-peraturan yang menyeluruh, ia tidak
seharusnya dijadikan alasan untuk tidak mencuba atau menjalankan perubahan-perubahan
tersebut. Dalam hal ini apa yang sangat - sangat diperlukan ialah pengurus awam yang berkeupayaan
dan mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang boleh dicontohi.